30 minit yang terakhir





ketika sibuk menghitung-hitung dosa yang bertimbun dalam hidupku yang lalu, teringat tazkirah Ustaz Zahazan dalam bas semasa ziarah di tanah haram tahun lepas. hidup di dunia ini sekejap sahaja. Nabi saw bersabda bahawa satu hari di sisi Allah swt sama seperti seribu tahun di dunia. dan Nabi saw juga bersabda bahawa purata umur umatnya ialah sekitar 60 tahun. bermakna hidup kita di dunia ini hanya sekadar lebih kurang 1.5 jam sahaja. aku tersentak menginsafi bahawa hidupku hanya tinggal sekadar selama 30 minit saja lagi di sisi Allah swt. 

tidak apa yang boleh aku lakukan pada 2/3 hidupku yang telah berlalu. segalanya sudah berlaku. tidak ada yang mampu aku lakukan untuk membasuh dosa-dosa laluku melainkan merintih belas kasihan dan meratap ampun kepada Allah swt dalam setiap sujud. kebodohan dan kejahilan masa laluku itu akan aku jadikan sebesar-besar peringatan buat diriku dalam mengharung baki 30 minit terakhir dalam kembara di dunia.

ya Allah! yang nyawa kami ini dalam genggaman-Mu. hanya kepada-Mu sahaja tempat kami mengadu dan mengharap. sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang zalim maka lindungilah kami dari kejahatan diri kami sendiri. ampunkanlah dosa-dosa yang telah kami perbuat kerna kebodohan dan kejahilan kami. sesungguhnya diri kami ini tidak bermakna apa-apa tanpa rahmat dan keampunan-Mu. sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

ya Allah! yang Maha Mengetahui segala yang terdetik di dalam hati setiap manusia. hapuskanlah dari hati kami sifat-sifat sombong, ujub, riak dan takbbur, serta semaikanlah hati kami dengan akhlak al-Quran, seperti kekasih-Mu, Rasulullah saw. janganlah Engkau gelincirkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami. kurniakanlah kepada kami rasa cinta dan rindu kepada-Mu dan Rasul-Mu. anugerahkanlah kami kasih-sayang-Mu. sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi Anugerah.

ya Allah! Penguasa kepada sekalian alam, langit dan bumi, dunia dan akhirat. ampunkanlah osa kami, ampunkanlah dosa ibubapa kami, ampunkanlah dosa guru-guru kami, ampunkanlah dosa isteri dan anak-anak kami, ampunkanlah dosa adik-beradik kami, ampunkanlah dosa saudara-mara kami, ampunkanlah dosa sahabat-handai kami, ampunkanlah dosa jiran tetangga kami, ampunkanlah dosa saudara-saudara kami seluruh umat Islam. tautkanlah hati-hati kami dengan tali kasih-sayang kepada-Mu. tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan takdirkanlah kami semua tergolong dikalangan orang-orang yang soleh. sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa.

Amin. Amin. Amin. ya Rabbal-alamin.

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008