Mengapa aku tidak mengundi PAS




Satu-satunya sebab aku teruja nak mengundi PAS dalam pilihanraya ialah keinginan untuk melihat pembentukan negara Islam. cuma persoalannya ialah negara Islam yg bagaimana? kerna dicontohkan dalam banyak kerajaan dan republik Islam yang sedia ada di dunia sekarang ini tidaklah benar-benar sebuah negara Islam pada rohnya, hanya Islam pada nama dan pada undang-undang sahaja. banyak masjid yang cantik dan gah, seperti Malaysia, tetapi tetap banyak juga permasalahan dalam jemaah.

Keinginan untuk melihat pembentukan negara Islam adalah untuk melihat Islam ditegakkan sebagai satu cara hidup, bukan sekadar mengisytihar perlembagaan dan mengimplementasikan hudud. mengharap agar nuansa Daulah Islamiyyah kembali mengharum seperti zaman kegemilangan Islam, atau yang terbaiknya seperti keadaan di zaman Rasulullah saw dan Khulafa ar-Rasyidin.

Maka persoalannya, adakah dengan mengundi PAS dalam pilihanraya umum nanti kita dapat merealisasikan semua ini?

Jika kita lihat pada generasi awal muslim, merenung sifat yang terkandung dalam ayat-ayat awal yang diturunkan di Mekah, ia tertumpu pada meresapi makna syahadah. Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah swt. inti pada syahadah ini adalah membebaskan diri dari jahiliyah. baik dari segi penyembahan berhala, malah juga dari budaya dan kekuasaan manusia lain. hanya dengan menumpukan seluruh aspek kehidupan terhadap pengertian syahadah, maka manusia terbebas dari jahiliyah, bebas dari kemestian-kemestian dan keterpaksaan. ini maksud kemerdekaan yang sebenar.

Dan genereasi awal muslim, tidak mempelajari al-Quran untuk pengetahuan atau sebagai satu cara mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kehidupan, tetapi mereka mempelajari al-Quran hanya untuk mengetahui apakah suruhan dan larangan Allah swt dan terus serta-merta mengaplikasinya dalam kehidupan seharian mereka. mereka tidak terus menghafal semua ayat al-Quran yang diturunkan tetapi menghafal hanya beberapa ayat pada suatu jangkamasa untuk menerapkan firman Allah swt dalam kehidupan mereka. mereka melakukannya hanya kerna Allah swt. dan inilah yang disemai dan dipupuk selama 13 tahun Rasulullah saw berdakwah di Mekah. kerna al-Quran itu cara hidup mereka, maka mereka sangat tegar dan tabah menahan segala cubaan dan ujian yang Allah swt timpakan kepada mereka. tidak sekali pun mereka berpaling dari apa yang mereka tanamkan di hati mereka. tidak tergugat sedikit pun harapan mereka terhadap syurga Alah swt. tidak sesaat pun hilang rindu mereka kepada Allah swt. 

Itulah jua yang berlaku di Madinah sebelum ketibaan Rasulullah saw. kerna itu Muhajirin yang datang dianggap sebagai saudara kandung oleh Ansar. kerna dalam jiwa mereka itu ada Islam dan cara hidup mereka adalah Islam. apa sahaja wahyu yang turun langsung mereka aplikasikan, tidak menunggu-nunggu dan tanpa ragu-ragu. dan ketika masyarakat yang benar-benar muslim sudah tersedia maka barulah turun wahyu mengenai permasalahan masyarakat hingga seterusnya pembangunan Daulah.

Jika Allah swt mengkehendaki, boleh saja langsung turun al-Quran secara lengkap, atau boleh saja turun ayat-ayat Mekah berupa peraturan-peraturan yang dapat menyelesaikan permasalahan jemaah. namun Alah swt Maha Mengetahui apa yang terbaik mengikut fitrah makhluk yang diciptakan-Nya. hanya setelah wujud jemaah muslim yang sebenar, maka pembinaan Daulah dimulakan.

Dalam konteks negara kita sekarang, adakah kita sudah mempunyai jemaah muslim yang sebenar? adakah akhlak jemaah PAS semuanya sudah terbentuk dengan akhlak al-Quran? adakah kepimpinan yang ada dalam PAS sekarang ini benar-benar layak untuk memimpin ummah? atau mungkinkah mereka menjadi satu lagi tirani atas nama agama? namun bukan ini sebab utama aku tidak mengundi PAS.

Soalan asasnya adakah masyarakat kita benar-benar bersedia untuk hidup dalam negara Islam? pandang pada diri kita, pandang sekeliling kita, adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, dan jiran tetangga kita. jengok semula dan perhatikan dengan teliti keadaan rumah kita. adakah kita benar-benar memodel kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat ra?

Tanya pada diri kita mengapa kita mahukan negara Islam? supaya tidak ada rasuah dalam kepimpinan? supaya para pemimpin kita lebih perihatin kepada kita? kita mahu kehidupan kita tenang? mudah cari makan? mudah cari harta? kita mahu negara menjadi lebih makmur dan selamat? tapi adakah kita bersedia untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup kita?

Bagaimana kalau pemimpin negara Islam kita kelak mengharamkan filem-filem dan muzik? menukar sistem pendidikan nasional berteraskan Islam? bagaimana jika orang-orang perempuan hanya dihadkan untuk pekerjaan-pekerjaan tertentu? pergaulan lelaki dan perempuan dipisahkan? orang perempuan mempunyai kaunter sendiri? bagaimana jika setiap pejabat dan kedai mesti memberhentikan urusan mereka sekurang2nya selama 20 minit setiap kali azan dilaungkan dan setiap orang lelaki wajib hadir dalam solat jemaah? setiap orang perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian yang tidak menutup aurat? bagaimana jika tabaruj diharamkan pada perempuan? malah bagaimana jika hijab dikuatkuasakan? susah betul jadi orang Islam ya? itu baru cerita bahagian yang mudah-mudah.. ;)

Melalui pemerhatian di beberapa negara Islam yang sempat bermastautin, kebanyakan dari penguatkuasaan undang-undang Islamik begini hanya mengundang kebencian terutama pada golongan muda. malah ada pula negara republik Islam tetapi tidak pun menguatkuasakan undang-undang syariah. masalahnya bukan pun pada penggubalan undang-undang mahupun pada penguatkuasaan, tetapi penerimaan masyarakat terhadap undang-undang tersebut. 

Balik pada persoalan jemaah kita, kebanyakan yang menyokong PAS bukan kerna cintakan Islam tapi kerna benci sangat kat puak satu lagi. ini jelas kelihatan dalam ayat-ayat dan bahasa tubuh ahli PAS dan para simpatisan PAS. maaf cakap, tapi selalu sangat lihat dan dengar perkataan yang keluar dari mulut mereka mencuit Islam tanpa adab dan akhlak al-Quran. bukan semua tapi kebanyakannya macam tu. maka jika ahli PAs dan para simpatisan yang menyokong juga bukan cermin muslim sebenar, bagaimana agaknya jemaah yang di luar PAS?

Secara peribadi, tanggungjawab yang utama ialah membina jemaah muslim yang sebenar, supaya keluar dari kehidupan jahiliyah, yang hanya berpegang pada syahadah sebagai cara hidup. selagi ini tidak mampu diwujudkan dalam jemaah, maka bukanlah keutamaan untuk merebut-rebut kuasa. nanti hujungnya hanya sama seperti tirani yang lain. malah lebih buruk nanti Islam dihina-hina kerana masyarakat yang hanya muslim di kad pengenalan akan mengutuk-kutuk nama Islam dalam PAS. dan waktu itu, kita pula terpaksa sibuk menepis-nepis kerana mempertahankan Islam. adakah waktu itu kita benar-benar mempertahankan Islam atau hanya sekadar mempertahankan parti kita yang menggunakan perkataan Islam?

Memang benar pendapat ini terlalu idealis. tapi inilah jalan yang Rasulullah saw tunjukkan pada kita. kejatuhan empayar Islam bukan kerna pemimpin Islam kalah pilihanraya, bukan kerna kalah perang, bukan kerna miskin dan tertindas, tetapi kerana tiada wujud roh muslim yang sebenar dalam masyarakat. pendapat ini bukan retorik tetapi berasaskan realiti jemaah kita. benar Islam sedang bangkit, kerna itu kebangkitan ini harus disemarakkan tanpa tergesa-gesa. lihat saja apa yang berlaku, perpecahan jemaah kita kerana mazhab politik semakin memburuk.

Kalaupun kita anggap UMNO itu sesat dan kafir, maka menjadi tanggungjawab kita untuk berdakwah dan mentarbiyah mereka. bukankah itu tanggungjawab kita sebagai muslim? keutamaan mengajak muslim yang lain kembali ke jalan yang lurus lebih besar dari keutamaan mengajak kafir kembali ke jalan Islam. jika UMNO masih mengaku Allah swt sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Nabi Muhammad saw sebagai pesuruh Allah swt, maka sesesat mana pun mereka, tanggungjawab kita, yang mengaku berada dalam lingkungan hidayah Allah swt, untuk menunjukkan jalan kepada mereka tanpa rasa penat dan jemu. terus menerus berdoa dan mendekati mereka. bukankah itu keutamaan muslim?

Atau adakah lebih mudah untuk kita melabelkan mereka sebagai fasik, malah munafik, supaya kita dapat memerangi mereka? adakah ini yang kita mahukan? adakah kemarahan kita ini kerana Allah swt? adakah benar mereka munafik dan kita ini puak yang diredhai Allah swt? benarkah pangkat syuhada itu milik kita jika kita memerangi mereka? jika benar memerangi UMNO itu jalan jihad untuk mendapat syahid, mengapa kita teragak-agak untuk mengangkat saja senjata memerangi mereka? atau kita agak-agak saja? fi sabilillah nih boleh main agak-agak ke?

Adakah hanya dengan punya kuasa kita boleh melakukan segala-galanya? hanya dengan kuasa maka kita boleh mengimplementasi Islam sebagai cara hidup? jika tiada kuasa, kita tak boleh buat apa-apa? adakah ketika Rasulullah saw sampai ke Madinah, baginda saw terus mendapat kuasa? bukankah baginda saw menekankan pembangunan jatidiri muslim dalam ummah sebelum berkisah tentang kuasa? apa yang kita dah buat? mana  model pembangunan muslim kita? jangan anggap jika berjaya di Kelantan maka perkara yang sama boleh didogmakan di negeri lain? ada sesuatu dalam budaya orang Kelantan yang tidak ada dalam budaya penduduk negeri lain.

Kita perlu rasa malu pada Arqam, disebalik label sesat yang dicap pada mereka, yang mampu membangun jemaah mereka dengan jatidiri yang hebat. kita patut belajar memerintah dari kumpulan Muhammadiyah di Indonesia yang berkembang pesat dengan ribuan sekolah, universiti dan hospital. menjadi hebat di bidang ekonomi tanpa perlu menjadi sebahagian dari kerajaan Indonesia. dan banyak lagi contoh telah ditunjukkan kepada kita betapa kita mampu merubah jemaah dan negara tanpa perlu memegang kuasa pemerintahan. adakah kita telah cuba melakukan semua cara ini?

Kalau memang benar UMNO itu menzalimi rakyat, dan menjadi kewajiban kita menghalang kerosakan, apakah jaminan apabila PAS menjadi kerajaan maka PAS tidak akan zalim dan berbuat kerosakan? apa bukti yang menunjukkan PAS benar-benar ikhlas dan mampu melakukan semua itu? yang terlihat kebanyakan pemimpin lebih sibuk mempertahankan kedudukan mereka. hanya tipikal politikus. ketika PR menguasai Selangor, jelas apa yang dilakukan oleh orang-orang PAS sama persis seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang UMNO. jangan menafikan ini kerna ini adalah kisah benar, bukan semua tapi kebanyakannya.

Aku tidak akan mengundi PAS kerana rakyat Malaysia belum bersedia jadi muslim. masih banyak kerja yang harus dilakukan. sokongan mereka terhadap Islam hanya kosmetik kerana mereka belum mencerminkan muslim yang sebenar. masih penuh benci, marah, sombong dan takabbur. kebanyakannya bukan menyokong kerna Islam tetapi kerana mahu melihat UMNO tumbang. 

Kata-kata betapa kalau kita nak tunggu semua orang sedar, maka kita akan terlambat, hanyalah kata-kata alasan kerana kita malas nak buat kerja dakwah yang sebenar. kita tak sabar sebab kita rasa hidup kita susah. kita nak jalan pintas. bukan murni kerana Allah swt.

Aku tidak mengundi PAS kerana bukan semua pemimpin PAS itu berjalan atas denai Islam. aku faham kesukaran untuk memilih yang terbaik kerana demokrasi dalam parti. bayangkanlah jika demokrasi dalam parti sendiri berupaya untuk menaikkan orang hina yang popular di atas kerusi orang alim dan wara, apakah jaminan PAS mampu mengawal demokrasi di luar parti?

Kata-kata betapa keutamaan mendapat kuasa sebagai satu keperluan dalam mendapatkan jalan untuk menegakkan Islam, hanyalah kata-kata alasan untuk mendapat kekuasaan, atau dalam sebahagian realiti, hanya kata-kata alasan untuk menyokong strategi menjahanamkan musuh yang sangat-sangat kita benci. bukan murni kerana Allah swt.

Aku tidak akan mengundi PAS kerana secara peribadi aku tidak percaya lagi pada sistem demokrasi. dimana-mana di dunia sekarang ini telah menunjukkan kegagalan sistem demokrasi, mengapa harus kita pula penuh perasaan menyokongnya? jika benar tiada pilihan lain, maka kita perlu cipta pilihan tersebut. mengapa harus jadi pasrah pada sistem ciptaan manusia? mengapa harus mengikut sistem jahiliyah?

Kata-kata betapa kita tidak ada pilihan lain, hanyalah kata-kata alasan kerna kita bukanlah muslim yang sebenar. kita hanya orang-orang yang tahu tentang Islam serba sedikit, tapi hati kita penuh dengan dunia. kita bukan muslim yang berpegang teguh pada syahadah, tidak ada Ilah yang disembah selain Allah swt. kita masih sebahagian dari kaum jahiliyah yang hanya melihat Islam sebagai teori agama, bukan cara hidup. 

Ketika kita bangun pagi untuk solat subuh, cuba lihat rumah kita. semasa makan tengahari selepas solat zohor, pandanglah persekelilingan tempat kerja kita. waktu nanti kita pulang selepas asar dari kerja, berhentilah di muka pintu dan lihat ke dalam rumah kita. dan lihatlah bagaimana keluarga kita mengisi antara solat maghrib ke solat isya hingga ke subuh. benarkah kita muslim? atau kita hanya rasa kita muslim sebab nama kita nama arab?

Terlalu banyak yang perlu kita lakukan dalam jemaah selain daripada sibuk berebut kuasa. jika benar kuasa itu dapat menegakkan Islam, sudah tentu Allah swt telah menentukan Rasulullah saw mendapat kuasa di Mekah pada awal dakwah baginda saw. bukankah jalan yang sebenar itu adalah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw?

Jika kita tidak benar-benar mahu melakukan ini semua murni kerana Allah swt semata-mata, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencipta jemaah muslim yang sebenar, maka aku ada sebab untuk tidak mengundi PAS..

..tapi tidak bermakna aku akan mengundi UMNO. ;)

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008